Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan kabinet: PM

Keputusan PRN Johor tak jejas hubungan kabinet: PM

Kongsikan Berita Ini

BERA: Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang menyaksikan Barisan Nasional (BN) menang besar semalam, diyakini tidak menjejaskan hubungan di peringkat kerajaan Persekutuan, yang meliputi menteri serta timbalan menteri daripada parti yang berbeza.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata walaupun mesyuarat Kabinet pertama selepas PRN itu hanya akan berlangsung minggu depan, namun beliau optimis bahawa semua anggotanya adalah profesional, dan dapat membuat keputusan baik demi kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat.

“Kami profesional dan fokus kepada dasar serta isu negara…kami (Kabinet) profesional kerana di situ dasar negara perlu dibincangkan dan perlu diputuskan secara bersama, tidak ada isu bertelagah kerana berlainan parti.

“Waktu PRN Melaka pun kami bertembung, dan tidak bawa pertembungan itu ke Kabinet. Di Johor, pertembungan juga sengit dan sebagainya, tapi juga ia tidak dibawa ke Kabinet. Saya berharap dan yakin,“ katanya pada sidang media selepas merasmikan Program Bantuan Lesen Memandu Keluarga Malaysia (BLKM) di sini hari ini.

Turut hadir ialah Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Zailani Hashim dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang Datuk Seri Norolazali Sulaiman.

PRN Johor menyaksikan BN menang di 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) manakala Perikatan Nasional (PN) yang juga merupakan sebahagian daripada anggota Kabinet hanya memperoleh tiga kerusi, manakala Pakatan Harapan (11 kerusi) dan masing-masing satu kerusi bagi PKR dan MUDA.

Beliau juga berharap semua pihak yang bertanding pada PRN Johor, termasuk yang tewas, untuk memberikan sokongan dan kerjasama kepada menteri besar yang akan dilantik selepas ini, kerana kestabilan politik amat diperlukan bagi membangunkan negeri.

Ditanya mengenai desakan segelintir pihak supaya Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan segera, mengambil kira momentum kemenangan BN pada beberapa PRN sebelum ini, Ismail Sabri berkata PRU hanya akan diadakan apabila pelbagai aspek dan pihak berkaitan sudah bersedia.

“Sedia atau tidak, biar kepimpinan parti yang tentukan. Banyak lagi perkara yang perlu dilihat. Setiap keputusan akan dibincangkan dalam parti. Tidak boleh ada satu kumpulan kecil yang mahukan PRU, maka kita buat. Ini (PRU) perkara besar, kena dibincangkan.

“Selain itu, ada prosedurnya. Saya kena menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan, dan kalau diperkenankan maka bolehlah (pilihan raya) diadakan. Jadi tunggu masa yang sesuai,“ katanya.

Berhubung memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatanganinya bersama Pakatan Harapan bagi meredakan suhu politik selepas dilantik sebagai Perdana Menteri, Ismail Sabri berkata masih terlalu awal untuk beliau menyatakan ‘masa depan’ MoU itu yang akan tamat pada 31 Julai ini.

Sama ada MoU itu akan disambung atau tidak, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau ‘tidak mahu membuat spekulasi awal kerana belum masanya’.

Mengulas mengenai Perhimpuan Agung Umno yang dijadual bermula Rabu ini, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden Umno melihat hala tuju parti, menjadi antara fokus utama yang akan dibincang dan diperincikan, termasuk tidak menolak kemungkinan isu berkaitan Muafakat Nasional (MN) yang dibentuk bersama PAS.

“Saya juga menunggu ucapan presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) dan juga ucapan pembahas-pembahas. Hala tuju sekarang mungkin berbeza daripada sebelum ini susulan pelbagai perkembangan semasa, termasuk PRN.

“Jadi saya tunggu ucapan dan intipati ucapan yang akan dibahaskan setiap negeri serta resolusi yang akan dicapai… ini yang akan jadi hala tuju Umno selepas ini,“ katanya. –Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *