BN raih 43.11% undi popular, PN atasi PH

BN raih 43.11% undi popular, PN atasi PH

Kongsikan Berita Ini

KUALA LUMPUR: Barisan Nasional (BN) mendahului undi popular pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam dengan meraih 599,753 undi atau 43.11 peratus.

Ia diikuti Perikatan Nasional (PN) yang memperoleh 334,457 undi atau 24.04 peratus dan Pakatan Harapan (PH) dengan 284,969 (20.48 peratus) undi.

PKR yang bertanding menggunakan logo sendiri pada kali ini memperoleh 82,556 undi atau 5.93 peratus manakala parti MUDA buat pertama kali ke gelanggang pilihan raya memperoleh 48,072 atau 3.46 peratus undi.

Undi popular merujuk kepada jumlah undi diraih oleh setiap parti atau gabungannya.

Sementara itu, Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) pula memperoleh 18,692 undi atau 1.34 peratus, Bebas dengan 10,007 (0.72 peratus) undi, WARISAN (6,523 atau 0.47 peratus) dan Parti Bangsa Malaysia (PBM) meraih 4,880 (0.35 peratus) undi.

Parti Sosialis Malaysia (PSM) pula meraih 997 (0.07 peratus) undi dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA) dengan 247 atau 0.02 peratus undi.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata peratusan undi popular yang memihak kepada BN adalah hasil pengundi setia dan mahu gabungan itu mengambil alih semula urus tadbir negeri.

Beliau berkata prestasi popular Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad yang membawa konsep Keluarga Malaysia ke negeri Johor banyak menyumbang kepada undi berkenaan.

“Hasni juga dilihat banyak membantu golongan terkesan akibat Covid-19 terutama peniaga Cina di negeri itu dengan pelan-pelan yang diaturkan di bawah kepimpinannya,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Katanya, hubungan Hasni yang melangkau pelbagai etnik juga melengkapkan kejayaan BN di PRN itu.

Mengulas mengenai undi popular PN yang lebih tinggi daripada PH walaupun PH memenangi lebih banyak kerusi, Sivamurugan berkata dengan sistem first past the post yang diamalkan di negara ini, jumlah itu katanya tidak melambangkan jumlah kerusi dimenangi.

“Prestasi undi PH yang sebelum ini selalunya tinggi daripada parti lain juga perlu dikaji, mereka perlu melakukan pascanilai ke atas pengurangan undi itu, ia agak memeranjatkan,” katanya.

Keputusan PRN semalam menyaksikan BN kembali melebarkan penguasaannya apabila memperoleh mandat besar lebih dua pertiga majoriti apabila memenangi 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dengan Umno memenangi 33 kerusi DUN, manakala MCA empat, dan MIC tiga.

Ia diikuti dengan PH (11), PN (tiga), MUDA (satu) dan PKR (satu).

PRN Johor kali ini menyaksikan 239 calon daripada 15 parti politik bertanding merebut 56 kerusi DUN, dan 1,426,573 orang atau 54.92 peratus mengundi. – Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *