Adun PH sedia sokong agenda yang dirancang untuk kebaikan rakyat

Adun PH sedia sokong agenda yang dirancang untuk kebaikan rakyat

Kongsikan Berita Ini

BATU PAHAT: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Penggaram Gan Peck Cheng(gambar) berkata pihaknya sedia menyokong usaha-usaha kerajaan negeri yang dirancang demi kebaikan rakyat, dan pasti akan ‘menegur’ sekiranya terdapat perkara-perkara yang dilihat akan membebankan orang ramai.

Katanya beliau berpandangan Pakatan Harapan (PH) Johor bukan hanya akan terus membangkang semata-mata, sebaliknya ia boleh menjadi ‘rakan’ dalam mengurus tadbir kerajaan.

“Membangun negeri Johor adalah hasrat utama kami (PH). Tugas utama setiap Adun adalah untuk berkhidmat kepada rakyat dan setiap Adun yang berkhidmat perlulah jujur, bukannya menjadi wakil rakyat untuk mengejar sesuatu atau ada kepentingan untuk diri sendiri,” kata bandahari DAP Johor itu kepada Bernama hari ini.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor semalam, Gan berjaya mempertahankan kerusi Dun Penggaram dengan majoriti undi 9,956 menewaskan Ter Hwa Kwong daripada Barisan Nasional, Ronald Sia Wee Yet dari Perikatan Nasional (PN ) dan calon bebas Zahari Osman.

Ditanya mengenai usaha membangunkan kawasan Dun berkenaan, katanya beliau akan menumpukan kepada aktiviti kebajikan sebagaimana yang dilakukannya semenjak menjadi Adun bermula 2013, serta berusaha mengatasi banjir kilat yang sering berlaku di kawasan itu sejak akhir-akhir ini.-Bernama

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *