7 Peserta Perhimpunan Bantah Tempoh PKPD Dibebaskan

TAWAU: Tujuh individu termasuk aktivis masyarakat yang ditahan kelmarin selepas terbabit perhimpunan membantah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya, dekat sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas, berkata mereka dibebaskan kira-kira jam 3 petang selepas tempoh reman sehari tamat hari ini.

Beliau berkata, polis bagaimanapun masih dalam proses memperkemas dan melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.

“Setakat ini siasatan pihak polis masih kekal mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 25 Ordinan Darurst 2021 dan Sekseyn 9 (5) Akta Perhimpunan Aman,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini, hari ini.

Terdahulu, semua suspek berusia antara 21 hingga 35 tahun itu ditahan polis selepas terbabit dalam perhimpunan memprotes tempoh PKPD di Kampung Muhibbah Raya kira-kira 3 petang pada Sabtu.

Mereka kemudiannya ditahan reman sehari kerana didapati melanggar prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam usaha mengekang penularan Covid-19.

Dalam pada itu, Peter turut menasihatkan orang ramai supaya tidak berkongsi maklumat yang tidak sahih atau mengelirukan dengan tujuan untuk menghasut.

Katanya, perbuatan terbabit bukan sahaja menimbulkan kegusaran dikalangan masyarakat malah menjadi satu kesalahan di bawah Akta Hasutan.

“Kita tidak mahu, kenyataan atau hantaran di media sosial yang mengelirukan ini akan disalah tafsir sehingga perbuatan yang menyalahi undang-undang dianggap sebagai satu tindakan yang betul.

“Jika tindakan seperti ini (demonstrasi) berulang, pihak polis tetap akan mengambil tindakan yang sama mengikut bidang kuasa dan peruntukan undang-undang sedia ada,” tegasnya. – HMetro

Kongsikan Berita Ini :