Pelajar Sabah finalis hackathon peringkat Asia Tenggara

Pasukan pelajar dari jurusan teknologi elektrik di Kolej Vokasional Keningau telah berjaya melayakkan diri ke pertandingan hackathon anjuran Save Philippine Seas yang berpangkal di negara Filipina yang akan berlangsung dari 24 April hingga Jun 2021. Fokus pertandingan hackathon tersebut yang dikenali sebagai Haquathon 2.0 (H20) adalah penyelesaian masalah berkaitan dengan persisiran pantai dan laut termasuklah penjimatan air. Penyertaan pertandingan adalah terhad untuk lima negara sahaja iaitu Filipina, Indonesia, Thailand, Vietnam dan Malaysia. Permohonan pasukan KV Keningau yang terdiri dari Warren Junior Patin, Andi Fazirah dan Vannie Verus telah diterima dan mereka akan bertanding untuk merebut geran berjumlah lebih kurang RM 8,000.00 yang akan diberikan kepada lima pemenang. Terdapat 13 pasukan yang bertanding dengan projek masing-masing. Senarai projek yang dipertandingkan bolehlah dirujuk di laman web Save Philippine Seas.

Pasukan ini mempertandingan projek mereka “Mechanical Water Veins” iaitu sejenis alat yang mampu mengawal penyiraman tanaman dalam rumah secara automatik. Ianya juga menggunakan semula air sisa untuk mengelakkan pembaziran air. Pada masa yang sama, alat ini dapat mengalakkan orang ramai khususnya mereka yang menetap di kawasan bandar agar mewujudkan taman dalaman kerana ianya memudahkan mereka untuk memastikan tanaman mereka sentiasa disiram mengikut waktu yang sepatutnya. Tujuan utama mereka menghasilkan alat ini adalah untuk memelihara alam sekitar melalui penjimatan air serta menggalakkan amalan tanaman dalaman terutamanya di kawasan perumahan bandar yang lebih terdedah dengan pencemaran udara dan pembaziran air. Pengarah KV Keningau, Encik Johari @ Jaibet Bin Sabin, memuji usaha pasukan ini yang menghasilkan projek dengan tujuan memelihara alam sekitar yang merupakan salah satu isu kritikal yang sedang dihadapi di peringkat global.

Kongsikan Berita Ini :