SMK Bandaraya Kota Kinabalu Cemerlang Di Pertandingan Inovasi Antarabangsa

Tiga kumpulan guru STEM SMK Bandaraya Kota Kinabalu berrjaya mengharumkan nama negeri Sabah apabila berjaya membawa pulang anugerah-anugerah utama dalam INTERNATIONAL INNOVATION ARSVOT MALAYSIA 2021 (IAM 2021) anjuran pelbagai agensi dalam dan luar negara. Dua Inovasi SMK Bandaraya Kota Kinabalu yang tercalon untuk anugerah inovasi terbaik ini telah terpilih untuk dibentangkan di persidangan maya antarabangsa pada 10 April 2021. Kumpulan ini telah berjaya memenangi Best of the best Innovation Award for Secondary School Teacher Category dengan inovasi Arterivena Model for Science. Pasukan ini diketuai oleh Cikgu Nadia Richard dan rakan guru sains, Cikgu Kong Ching Ling, Cikgu Roselen Sindeh dan Cikgu Zarina Nazori. Mereka membawa pulang sijil, medal dan wang ringgit sebanyak RM1,000.00. Selain itu juga, kumpulan guru SMK Bandaraya Kota Kinabalu ini berjaya membawa pulang dua anugerah Best Award for Secondary School Teacher Category, dua pingat emas dan satu pingat perak. Sebagai pemenang anugerah ini, mereka menerima sijil dan pingat khas.
Inovasi kedua pasukan sekolah ini yang berjaya merangkul Best Award for Secondary School Teacher Category dan pingat emas adalah Rotactor Gold. Pasukan ini juga diketuai oleh Cikgu Nadia Richard, bersama rakan guru Matematik Cikgu Norallysham bin Stoh, Cikgu Mohd Yusuf bin Andres dan Cikgu Roselen Sindeh. Inovasi ketiga yang dipertandingkan adalah inovasi subjek sains yang bertajuk RESS-PAN yang telah dianugerahkan dengan pingat perak. Pasukan ini diketuai oleh Cikgu Roselen Sindeh bersama rakan guru Sains Cikgu Julie Johwina Rombiong, Cikgu Zarina Nazori, dan Cikgu Nadia Richard. Puan Rohani Hj Ramlee, Pengetua SMK Bandaraya Kota Kinabalu, melahirkan rasa bangga dan sentiasa menggalakkan semua warga sekolah turut mengambil bahagian membangunkan inovasi dan kajian tindakan bagi membantu peningkatan prestasi anak-anak murid di sekolah ini selain memberi nilai tambah kepada perkembangan prestasi guru. Semoga kejayaan ini juga memberi inspirasi kepada semua warga guru.

Kongsikan Berita Ini :