GRADUAN MEMBIDAS ANJURAN PENGAMBILAN OPSYEN PENDIDIKAN DI IPT

20 Mac 2021

Oleh: Graduan News

Melanjutkan pengajian ke menara gading adalah impian bagi setiap pelajar sejak di bangku sekolah, apatah lagi jika diterima masuk dalam Ijazah pertama di Universiti Awam yang terkemuka. Bagi yang berminat menjadi guru, bolehlah memohon ke Universiti Awam yang menawarkan pengajian pendidikan dalam bidang masing-masing.

Pengajian pendidikan di Universiti Awam adalah laluan kedua selain Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM), khusus yang berminat menjadi guru, baik di sekolah rendah mahupun sekolah menengah. Persoalannya, adakah terdapat jaminan penempatan guru setelah bergraduasi? Isu ini bukanlah baru timbul semalam, malahan sudah berlarutan bertahun lamanya. Unjuran pengambilan pengajian pendidikan yang ditawarkan oleh Institusi Pengajian Tinggi (IPT) sepertinya tidak senada dengan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) saban tahun.

Merujuk kepada laporan akhbar tempatan pada Januari 2021, sekurang-kurangnya 10,000 graduan pendidikan universiti awam menganggur disebabkan tiada penempatan di sekolah sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) DG41. Angka ini semestinya mengundang kepada lambakan gergasi sekiranya tiada penyelesaian yang tuntas diambil.

Alexander Demong

Graduan ISMP Universiti Awam

Susulan itu, beberapa hari yang lepas telah tular suatu coretan pengguna Facebook milik Ignatius Alexander Demong. Dalam coretan yang dibuat, Alexander dipercayai membidas ketidakselarian opsyen pendidikan yang ditawarkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), yang seharusnya sehaluan dengan keperluan opsyen di sekolah unjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

Dalam kenyataannya, Alexander menyatakan pelajar melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan ke Universiti Awam atas dasar kecintaan yang mendalam kepada profesion tersebut, meskipun nasib tidak menyebelahi ke IPGM. Walaupun hakikatnya opsyen pendidikan adalah bersifat pasaran terbuka, pelajar tetap meneruskan niat kerana KPT memberikan harapan tersebut kepada pelajar.

Menurutnya lagi, fasa kemasukan ke Universiti Awam pada awalnya diibaratkan seperti seorang ibu menyambut kelahiran anak dengan penuh riang. Setelah empat tahun berlalu dan berjaya menggenggam sijil perguruan, kuota kekosongan guru di sekolah tidak diberikan kepada graduan pendidikan universiti awam. Lebih parah lagi, nama tidak dicatat dalam senarai calon temu duga.

“Bila ditanya, diberikan jawapan tiada kekosongan opsyen. Lebih teruk lagi, dikatakan opsyen tidak relevan. Dia (graduan) tertanya, bagaimana mungkin sesuatu yang tiada kekosongan dan tidak relevan itu ditawarkan kepada dia (graduan) dan yang lainnya (rakan-rakan seperjuangan)? Ianya sangat mustahil,” katanya di sini hari ini.

Alexander turut mempersoalkan tentang ketiadaan kekosongan bagi opsyen Pendidikan Ekonomi di sekolah pada setiap tahun. Apa yang lebih menyedihkan, tiada sebarang usaha yang dilihat dibuat oleh pihak berkenaan untuk menyelesaikan kemelut yang dihadapinya bersama rakan seangkatan agar ditempatkan di sekolah sebagai guru tetap.

“Sebab itulah graduan harus tidak bergantung kepada satu pekerjaan sahaja. Graduan sekarang bukan mencari kerja, namun harus mencipta kerja. Opsyen ini adalah bersifat pasaran terbuka (open market),” demikianlah jawapan dan alasan yang sering didengarinya daripada pihak berkenaan serta masyarakat yang gagal memahami situasi setiap kali ini dibangkitkan.

“Dengan sewenangnya mereka melemparkan kata-kata itu setelah mereka yang dulunya menciptakan harapan itu. Harapan untuk bergelar menjadi seorang guru. Barangkali, bagi mereka cita-cita menjadi guru itu sungguh remeh mungkin. Ya, mereka kini seperti seorang ibu yang tidak mengakui anaknya.

“Seharusnya mereka yang berjuang bermatian memastikan insan yang mereka keluarkan terbela nasibnya. Seorang ibu pastinya akan mencari jalan agar harapan anaknya tercapai. Namun, apakan daya, kita ini anak kandung mereka pun bukan, anak tiri pun bukan, hanyalah sekadar seorang penumpang yang membayar sewa di rumah mereka.

“ISMP Ekonomi dari 2016 sudah tidak dipanggil temuduga. Subjek Ekonomi masih diajarkan di sekolah. Sudah tak relevankah? Yang tak relevannya adalah bila rakyat dibiarkan tidak cakna dengan dunia Ekonomi. Saya percaya terdapat opsyen pendidikan lain yang terkesan seperti ini. Di mana silapnya?” tegasnya dengan meninggalkan tanda soal.

Coretan Alexander itu meraih 343 perkongsian dan 405 tanda ‘suka’ oleh pengguna laman Facebook setakat ini.

-BELIA-

Kongsikan Berita Ini :