“Saya Reda Bekerja Sebagai Buruh Kasar” – Graduan ISMP Universiti Awam

Oleh: Graduan News

18 Mac 2021

Menelusuri coretan hati anak kedua dariapda tiga beradik kelahiran Kunak, Sabah ini, yang bertimangkan nama Abrian. Jejak tampan ini merupakan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris dalam pengajian Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sejarah), bergraduasi pada tahun 2019. Lahir sebagai anak kedua daripada tiga beradik.

Anak muda berwawasan luas ini bekerja sebagai buruh kasar yang menjalankan kerja-kerja seperti membuat grill, renovate rumah, membaiki badan lori.

“Saya bekerja sebagai buruh kasar buat masa sekarang. Tidak dinafikan, ianya agak susah untuk memenuhi kehendak industri dengan kelulusan yang sama miliki. Saya okay saja kerja apa-apa pun, janji ada duit.

Abrian berkerja sebagai buruh membaiki rumah

PENAFIAN: Gambar ini mendapat kebenaran daripada Abrian

“Saya kerja ini tidak tentu juga, kadang welding, kadang tukang bancuh simen, kadang buat atap rumah. Disebabkan mahu kumpul duit, saya buat banyak kerja seperti buruh sawit, buruh dalam pembinaan dan kimpalan dan macam-macam lagi. Saya tahu lebih ramai lagi graduan pendidikan yang mempunyai nasib yang sama dengan saya. Justeru, saya memohon kepada pihak pengurusan perjawatan PPP DG41 (Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan) agar lebih teliti dan mengutamakan  graduan ISMP Universiti Awam khususnya graduan Sabah dan Sarawak,” katanya di sini hari ini.

Pihak Graduan News langsung bertanyakan dugaan yang dihadapinya sepanjang menjadi buruh berikutan beliau merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Pendidikan. Lalu, Abrian menyatakan beberapa persoalan yang pernah diajukan kepadanya yang mana agak membelenggu jiwa.

“Ke mana hala tuju graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan?

“Pelik juga kamu ini. Bakal cikgu tapi masih juga kerja begini. Bila mau posting?

“Bilalah kau mau posting ni. Macam lama sudah saya nampak kau kerja begini. Jadi, degree kau guna untuk balut nasi?” sahutnya dengan nada sayu.

Abrian dengan ringkasnya menyatakan tidak pernah terlintas sekalipun dalam benaknya untuk memilih pekerjaan seperti yang dilaporkan di media-media massa. Baginya, apa sahaja pekerjaan akan dilakukannya yang penting datangnya dari sumber yang halal. Namun, dia tidak menafikan bahawa hati kecilnya tetap berbisik untuk setia menantikan panggilan sebagai guru di sekolah.

“Usaha untuk mencari kerja dalam pelbagai bidang musnah bila majikan melihat sijil Ijazah Pendidikan tersebut. Sebagaimana usaha dimusnahkan, begitu juga dengan nasib dan kehidupan kami. Ke mana harus kami sandarkan penat lelah kami sepanjang pengajian 4 tahun? Kepada siapa harus kami sandarkan cita-cita kami yang selama ini dipupuk dan disemai untuk menjadi seorang pendidik?” ujarnya dengan sedih.

Abrian juga menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah atas usaha mengurangkan indeks pengangguran di Sabah dengan mewujudkan pengambilan Guru Interim, khususnya untuk graduan kelahiran Sabah. Namun, dia sempat menyatakan kekesalan apabila keutamaan tidak berpihak kepada graduan yang mempunyai ikhtisas perguruan. Ibaratnya, kera di hutan disusukan, anak sendiri mati kelaparan.

“Dari kecil, cita-cita saya sememangnya mahu menjadi seorang guru. Saya sedia maklum, opsyen saya ini adalah open market iaitu tiada jaminan penempatan oleh pihak Kementerian Pendidikan Malaysia. Tapi, bila unjuran kekosongan guru itu ada, graduan ISMP Universiti Awam tidak pula diutamakan. KPM mahu melahirkan guru berkualiti atas dasar apa sebenarnya?


“Empat tahun pengajian bukan suatu tempoh masa yang singkat. Ianya memerlukan kesabaran dan kecekalan yang tinggi untuk layak bergelar guru. Tapi, bila mana kekosongan guru itu ada, ianya tidak berpihak kami. Kelayakan dan syarat semuanya sudah cukup. Kalau KPM posting-kan kami di sekolah, kami boleh saja terus mengajar sebab sudah dilatih sebagai guru. RPH, RPT semua sudah kami kuasai. Saya juga boleh mengajar subjek di luar opsyen. Posting-kan sajalah kami,” rintihnya agar mendapat perhatian daripada pihak KPM.

PENAFIAN: Gambar ini mendapat kebenaran daripada Abrian

Abrian amat berharap sekurang-kurangnya agar pihak KPM dapat memberikan ruang dan peluang kepada graduan ISMP Universiti Awam bagi kelahiran Sabah dan Sarawak untuk berkhidmat di negeri masing-masing. Mengakhiri perbualan, Abrian berharap agar isu unjuran pengambilan guru yang dibangkitkan itu mencapai titik noktah sesegera yang mungkin.


-BELIA-

__________________________________________________________________________________

PENAFIAN:

Perkongsian dalam coretan ini adalah diperakui oleh graduan (saudara Abrian) sendiri untuk disiarkan, baik di media cetak mahupun digital. Segala olahan yang dibuat adalah bersifat asli tanpa mengubah sebarang maksud asal dan tokok tambah seperti yang dikongsikan oleh graduan.

Kongsikan Berita Ini :