Sebanyak 500 Hektar Diserah Kepada Agensi Persekutuan, Bukan 2,000, Kata Jabatan Tanah Dan Ukur Sabah

KOTA KINABALU: Jabatan Tanah dan Ukur Sabah berkata kerajaan negeri hanya menyerahkan tanah seluas lebih daripada 500 hektar kepada agensi persekutuan dan bukannya hampir 2,000 hektar seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Pengarahnya Bernard Liew Chau Min, menjelaskan jabatan itu sudah memperincikan angka berkenaan.

“Pada 18 Feb, kerajaan negeri menyerahkan sejumlah 177 hak milik tanah kepada kerajaan pusat dengan keluasan 519.444 hektar atau 1.283.57 ekar,” katanya dalam kenyataan.

Ketika ditanya mengapa kenyataan mengenai isu berkenaan sebelum ini, yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri, menyatakan tanah seluas 1,933.09 hektar diberikan kepada agensi, beliau berkata: “Angka itu disalah kira. Salah kami”.

Katanya, hak milik tanah diserahkan pada 18 Feb adalah bagi tujuan persekutuan, diperoleh melalui proses pengambilan tanah dan diluluskan sebelum 2016. Premium tanah sudah dibayar sepenuhnya.

“Kebanyakan tanah sudah pun dibina dengan sekolah, hospital dan kemudahan awam lain.

“Hak milik tanah yang diberikan kepada agensi persekutuan terutama bertujuan untuk pembangunan kemudahan awam seperti sekolah, hospital, balai polis atau pejabat pos bagi memberikan khidmat kepada masyarakat,” kata Liew.

Semalam, Ketua Pemuda Warisan Azis Jamman mengecam kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dengan menyatakan tindakan “menyerahkan” tanah seluas itu amat mengejutkan dan mendakwa ia merendah-rendahkan hak rakyat Sabah.

Beliau berkata, Warisan tidak membantah pembangunan infrastruktur seperti sekolah dan hospital, tetapi intinya adalah kerajaan pusat sudah memiliki banyak tanah di Sabah.

“Kenapa kerajaan negeri semasa memberikan lebih banyak tanah sedangkan banyak kawasan diasingkan untuk agensi persekutuan terbiar bertahun-tahun?

Pembantu Menteri Kewangan Sabah Nizam Abu Bakar Titingan, membidas kenyataan Azis hari ini, dengan mendakwa mereka cuba mengelirukan orang ramai dengan berkata tanah negeri diberikan kepada agensi.

Nizam yang juga ketua PPBM Tawau berkata, Ahli Parlimen Sepanggar itu “dengan sengaja” berusaha mempolitikkan isu ini.

“Azis mengetahui sebahagian besar hak milik tanah diserahkan kepada agensi persekutuan pada 18 Feb sudah dibangunkan, dengan kemudahan awam sedia ada. Sebaliknya, dia memilih untuk memutarbelitkan fakta,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, berdasarkan alasan Azis bahawa kerajaan pimpinan Warisan sebelumnya memberikan hak tanah kepada penduduk kampung lebih dari 4,000 hektar, Nizam yang juga ADUN Apas berkata, parti itu berusaha mengejar pencapaian kerajaan sebelumnya.

“Ini hakikat bahawa hak milik tanah dikeluarkan ini ditinjau dan dipersetujui oleh kerajaan pimpinan Barisan Nasional dan Azis tahu tempoh diperlukan untuk memproses permohonan ini sangat lama. Oleh itu, hak milik hanya siap dikeluarkan sekitar 2019 hingga 2020”.

Beliau berkata, ia sesuatu yang memalukan apabila Aziz dan Warisan berulang kali berusaha mendapatkan kredit atas perkara itu.

Liew berkata, terdapat dua kaedah memperoleh tanah oleh agensi persekutuan – pengambilan tanah persendirian bawah Ordinan Pengambilan Tanah Sabah Cap 69 dan dengan cara permohonan tanah negeri.

Katanya, pada 2016, kerajaan negeri memutuskan semua tanah bagi tujuan persekutuan yang akan diperoleh melalui permohonan tanah tanah negeri tidak akan diberi hak milik tanah sebaliknya akan diwartakan bawah Seksyen 28 Ordinan Tanah Sabah Cap 68

“Dengan demikian tanah akan kekal bawah kerajaan negeri.

“Tanah bagi tujuan persekutuan yang diperoleh melalui proses pengambilan tanah, dan pampasan dibiayai sepenuhnya oleh agensi persekutuan, akan diberikan hak milik tanah pajakan,” katanya.

Liew berkata, contoh tanah bagi tujuan persekutuan yang sudah diwartakan dan dikekalkan bawah kerajaan negeri adalah bangunan ibu pejabat Jabatan Kastam di Jalan Sulaman dan balai polis di Tawau.

Beliau berkata, tanah bagi tujuan persekutuan dikeluarkan hak milik pegangan pajakan 99 tahun, sambil menambah agensi persekutuan harus membayar premium dan cukai tanah tahunan, sama seperti pemilik tanah lain. – FMT

Kongsikan Berita Ini :