Pengambilan Vaksin Covid-19 Digalakkan, Dan Tiada Paksaan – Masidi

KOTA KINABALU: Walau tiada paksaan dalam pengambilan vaksin Covid-19 kepada rakyat di negeri ini, namun pengambilan vaksin digalakkan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, pengambilan vaksinasi ini adalah secara sukarela dan kerajaan mengharapkan ramai rakyat Sabah akan mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Beliau berkata, pelaksanaan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan melibatkan pelbagai pihak yang merangkumi usaha advokasi dan khidmat sokongan serta proses vaksinasi di seluruh negara.

Katanya, advokasi dan khidmat sokongan akan membantu masyarakat untuk mengetahui dan memahami perincian dan maklumat berkenaan program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan.

“Untuk itu, ada talian khas program Imunisasi Covid-19 akan disediakan untuk menjawab sebarang persoalan berkaitan imunisasi Covid-19.

“Maklumat lanjut mengenai program Imunisasi ini juga boleh diperolehi di laman sesawang rasmi http://vaksincovid.gov.my di samping akaun media sosial rasmi, untuk memastikan maklumat serta perkembangan terkini program ini mudah diakses oleh masyarakat,” katanya dalam sidang media perkembangan Covid-19, di sini hari ini.

Menurutnya, Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF) akan ditubuhkan bagi menyelaras program program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan di peringkat negeri ini. Pasukan CITF itu akan diselaraskan melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah.

Katanya, pasukan CITF di peringkat daerah juga telah diaktifkan yang diselaraskan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Masidi berkata, pasukan CITF ini diwujudkan bagi memastikan seramai mungkin penduduk negeri Sabah menerima vaksin Covid-19 dalam tempoh yang ditetapkan melalui fasa satu, dua dan tiga.

“Dari segi gerak kerja, persediaan yang sedang dilaksanakan antaranya melibatkan pengurusan logistik, persediaan pusat pemberian vaksin di setiap daerah, pengurusan tindakan perubatan, pengurusan sukarelawan dan komunikasi strategik bagi kempen menjayakan vaksinasi Covid-19,” jelasnya.

Bagi pendaftaran penerima vaksin Covid-19 di Sabah, orang ramai digalakkan mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. Maklumat temujanji seperti tarikh dan tempat vaksinasi akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, panggilan telefon atau khidmat pesanan ringkas (SMS).

Untuk warga emas dan tanggungan yang tidak mempunyai kemudahan telefon bimbit boleh didaftarkan sebagai tanggungan melalui ruangan “Manage Dependents” di dalam applikasi MySejahtera.

Orang ramai juga boleh membuat pendaftaran secara manual di fasiliti kesihatan kerajaan dan swasta yang ditetapkan.

Menyentuh mengenai gerakan anti-vaksin Covid-19 di Sabah, Masidi berkata, buat masa ini belum ada laporan mengenai aktiviti pembantahan vaksinasi kerana program ini bersifat sukarela.

Secara amnya, rakyat Sabah menerima baik usaha kerajaan untuk membendung pandemik Covid-19 melalui program vaksinasi. – BorneoToday

Kongsikan Berita Ini :