Lebih Dari 10 Lelaki Ditahan Dalam Op Samseng Jalanan Di Sandakan

SANDAKAN: Seramai 10 lelaki ditahan dalam Op Samseng Jalanan oleh sepasukan polis trafik dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sandakan di sekitar Pusat Bandar Sandakan, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata kesemua lelaki yang ditahan itu berusia 18 hingga 30 tahun dan dibawa ke Balai Polis Sandakan untuk tindakan lanjut.

“Sebanyak 10 buah motosikal telah ditahan di bawah Seksyen 60 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 untuk pemeriksaan lanjut identiti motosikal,” katanya.  

Pegawai serta anggota trafik IPD Sandakan sedang memeriksa penunggang motosikal dalam Ops Samseng Jalan di Pusat Bandar Sandakan.

Beliau berkata Op Samseng Jalanan (Motosikal) telah dilaksanakan oleh seorang pegawai kanan dan tujuh anggota Bahagian Siasatan Polis Trafik IPD Sandakan bermula jam 6 petang hingga 8.30 malam di sekitar Pusat Bandar Sandakan.

“Sepanjang operasi ini, sebanyak 40 keping saman telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan iaitu antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans dan ubahsuai ekzos,” katanya.

Mohd Azhar berkata dalam operasi ini juga M-COPS digunakan untuk pemeriksaan Sistem PDRM (Saman) dan Sistem JPJ (Lesen memandu/cukai jalan/pemilik kenderaan) serta semakan waran tangkap.

“Usaha penguatkuasaan akan dijalankan secara berterusan bagi mencegah dan membanteras perlanggaran kesalahan-kesalahan lalulintas dan memastikan pengguna jalan raya sentiasa dalam keadaan selamat,” katanya.

Beliau meminta masyarakat terutama golongan muda digesa untuk mendapatkan lesen menunggang yang sah, menunggang motosikal secara berhemah dan mematuhi setiap peraturan lalulintas.

“Jangan membahayakan diri sendiri dan orang lain. Bersama lah berusaha menjadikan jalan raya supaya selamat digunakan,” tegasnya. – Utusan Borneo

Kongsikan Berita Ini :