Pematuhan Peraturan SOP Merosot Di Sabah

KOTA KINABALU: Tahap pematuhan orang ramai terhadap prosedur operasi standard (SOP) di Sabah terus merosot dengan kadar hari ini hanya 95 peratus di semua daerah.

Ia adalah peratusan terendah direkodkan di negeri ini sejak bermula gelombang kedua pandemik COVID-19 pada Oktober lalu berbanding antara 96 peratus sehingga 99 peratus pernah direkodkan sebelum ini.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata berikutan itu Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan meningkatkan penguatkuasaan bagi memastikan orang ramai sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Pihak PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang ingkar SOP dengan mengenakan kompaun RM1,000 mengikut Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi SOP dan arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa bagi membendung penularan pandemik COVID-19,” katanya dalam kenyataan media perkembangan COVID-19 Sabah, di sini, malam ini.

Penurunan tahap pematuhan itu bermula sejak penamatan larangan rentas daerah dan negeri pada bulan lalu dengan penurunan ketara dikesan bermula akhir bulan lalu dan sepanjang minggu pertama Januari.

Sebelum ini, kebanyakan daerah mencatat kadar pematuhan melebihi 97 peratus dengan beberapa daerah seperti Sipitang, Kota Belud, Kinabatangan dan Kota Kinabalu sering mencatat sehingga 99 peratus tahap pematuhan SOP.

Sabah hari ini mencatat 409 kes baharu positif COVID-19, bertambah lapan kes berbanding 401 kes baharu semalam, menjadikan kumulatif kes setakat ini sebanyak 40,263.

Masidi yang juga jurucakap COVID-19 Sabah, berkata bagi kes sembuh, seramai 337 pesakit COVID-19 dibenarkan keluar hospital hari ini, menjadikan kumulatif sembuh 36,785 orang setakat ini.

“Seramai 2,538 pesakit masih menerima rawatan iaitu 653 orang di hospital dan 1,885 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) dengan 66 pesakit ditahan di Unit Rawatan Rapi (ICU) termasuk 18 orang memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.

Masidi berkata, daripada 409 kes positif COVID-19 hari ini, sebanyak 251 kes atau 61.4 peratus berpunca daripada saringan kontak rapat, diikuti 81 kes atau 19.8 peratus saringan bergejala, 11 kes atau 2.7 peratus saringan rentas negeri dan 10 kes atau 2.4 peratus daripada saringan kluster sedia ada.

Sebanyak 21 daerah berada dalam zon merah hari ini, berkurang satu berbanding 22 daerah semalam selepas Semporna beralih ke zon jingga menjadikan tiga daerah berada dalam zon itu hari ini.

Dua lagi daerah dalam zon jingga ialah Kuala Penyu dan Beluran, manakala tiga daerah dalam zon kuning iaitu Nabawan, Telupid dan Tenom.

Kota Kinabalu mendahului senarai daerah dalam zon merah yang merekodkan kes baharu tertinggi hari ini iaitu sebanyak 77 kes, diikuti Putatan (38), Lahad Datu (36), Penampang (35), Sandakan (26) dan Keningau (23). – BH Online

Kongsikan Berita Ini :