SEBANYAK 500 PEK BANTUAN MAKANAN UNTUK PENDUDUK KG KOPUNGIT

KOTA KINABALU: Inisiatif membantu golongan terjejas akibat pandemik Covid-19 bukan hanya dilakukan pihak kerajaan.

Wakil Parti Tindakan Demokratik (DAP) dilihat terus melaksana tanggungjawab selaku wakil rakyat dalam membantu golongan yang terjejas akibat pandemik ini.

Hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang, Phoong Jin Zhe meneruskan usaha menyalurkan bantuan pek makanan kepada penduduk terjejas di Kampung Kopungit.

Jin Zhe berharap bantuan yang diberikan itu dapat meringankan sedikit bebanan penduduk kampung untuk menghadapi masa yang begitu mencabar dan sukar ini.

“Saya akan terus bekerja untuk rakyat walaupun kini berada di pihak pembangkang yang tidak menerima sumber kewangan dan peruntukan. Saya beruntung kerana rakyat begitu prihatin dalam bersama-sama menyumbang dana bagi membolehkan usaha membantu golongan memerlukan ini dapat dilakukan.

“Saya berjanji akan melakukan sehabis baik bagi terus berkhidmat kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Beliau turut mengucapkan terima kasih atas sumbangan dana dan sokongan yang diberikan melalui kutipan dana yang dilakukan olehnya.

Kutipan dana yang dilancarkan berjaya menerima RM55,000. Sehingga kini, pasukan ADUN Luyang telah mengagihkan 1,800 pek makanan.

Dalam pada itu, Jin Zhe mengingatkan orang ramai untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) agar usaha memerangani Covid-19 ini berjaya dilakukan.

Kongsikan Berita Ini :