Sabah Catat 3 Kematian, Kes Positif Menurun Kepada 346 – COVID-19

KOTA KINABALU: Setelah dua hari mencatatkan kes melebihi 500, hari ini kes positif baharu Covid-19 yang dilaporkan di Sabah menurun kepada 346 kes, dengan tiga kes kematian.

Sabah berada di kedudukan kedua tertinggi selepas Selangor yang mencatatkan 402 kes positif.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga kematian itu melibatkan dua warganegara dan seorang warga asing. Ia masing-masing melibatkan satu kes di Hospital Queen Elizabeth, Hospital Lahad Datu dan Hospital Keningau.

Kesemua kematian lagi melibatkan pesakit berusia antara 55 hingga 78 tahun dan kebanyakannya mempunyai sejarah penyakit kronik.

Dengan itu, kes kematian yang dilaporkan di Malaysia meningkat kepada 332 kes, sementara kes kematian di Sabah menjadi 189 kes.

Secara keseluruhan sebanyak tiga kluster baharu dilaporkan iaitu kluster Penjara Jalan Harapan, Selangor dengan 17 kes positif, kluster Kota Kecil, Johor dengan sembilan kes dan kluster Sky Coklat, Labuan dengan tujuh kes.

Hari ini, sebanyak 1,041 kes positif baharu dilaporkan di seluruh negara, 1,039 kes adalah jangkitan tempatan manakala, dua kes import.

Sementara, 12 kes baharu dilaporkan di Wilayah Persekutuan Labuan dengan satu kluster baharu iaitu kluster Sky Coklat. Bilangan kumulatif kes di Labuan adalah sebanyak 1,227 kes.

Bilangan kes pulih hari ini adalah yang tertinggi pernah direkodkan iaitu dengan 1,405 kes. Manakala, bilangan kumulatif kes pulih adalah sebanyak 40,493 kes.

Tambahan kes baharu hari ini menjadikan bilangan kumulatif kes di Malaysia sebanyak 53,679 kes. Sebanyak 12,854 kes aktif dengan 108 kes ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 45 kes memerlukan bantuan alat pernafasan. – BorneoToday

Kongsikan Berita Ini :