Kakitangan Puspakom Positif Covid-19, Puspakom Kota Kinabalu Ditutup

KOTA KINABALU: Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer Sdn Bhd (Puspakom) Kota Kinabalu ditutup bermula hari ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif Covid-19.

Ia bagi mengelak penularan Covid-19 dalam kalangan kakitangan dan pelanggan yang berurusan di cawangan berkenaan.

Jurucakap Jabatan Komunikasi Korporat dan Khidmat Pelanggan Puspakom dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia juga bagi membolehkan kerja sanitasi dan pembersihan secara menyeluruh dijalankan.

“Seorang kakitangan Puspakom Kota Kinabalu disahkan positif Covid-19 dan dia kini sedang mendapatkan rawatan serta dikuarantin di sebuah hospital kerajaan.

“Proses pengesanan kontak juga sedang dijalankan dan semua kakitangan cawangan juga akan diuji, manakala mereka yang pernah berhubung secara langsung dengan pesakit terbabit sudah diarahkan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari,” katanya.

Katanya, tarikh pembukaan Puspakom Kota Kinabalu akan dimaklumkan kepada orang ramai kelak.

“Pihak kami akan mendapatkan nasihat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berkaitan kelonggaran pembaharuan permit untuk kenderaan yang tamat tarikh pemeriksaan dalam tempoh penutupan Puspakom Kota Kinabalu.

“Semua bayaran tempahan pemeriksaan yang sudah dibuat akan dipulangkan secara automatik kepada pelanggan,” katanya.

Katanya, sebarang maklumat terkini akan dimaklumkan kepada pelanggan dari semasa ke semasa. – HMetro

Kongsikan Berita Ini :