SEBANYAK 6 PTI DITANGKAP, ROKOK SELUDUP BERNILAI RM4 JUTA DIRAMPAS

SANDAKAN: Cubaan enam pendatang asing tanpa izin (PTI) menyeludup masuk membawa rokok bernilai RM3.98 juta berjaya dipatahkan, di Pulau Tetabuan, di sini semalam.

Cubaan menyeludup rokok itu berjaya dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Sandakan semasa rondaan Op Benteng pada 2 petang, semalam.

Pengarah Zon Maritim Sandakan, Kepten Maritim Zainudin Mohd Zuki berkata, pasukan peronda Maritim Malaysia telah terserempak sebuah bot nelayan tempatan dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot itu menemukan lebih kurang 398 kotak berisi 19,900 karton rokok putih, disyaki cuba diseludup masuk dengan anggaran nilai tanpa cukai RM1.99 juta. Nilai cukai pula dianggarkan RM 2.825 juta.

“Enam kru termasuk tekong berumur antara 20 hingga 54 tahun disyaki warga Filipina telah ditahan kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah serta lesen bot yang telah tamat tempoh,” katanya.

Zainudin berkata, nilai keseluruhan rampasan rokok putih beserta cukai termasuk bot dianggarkan bernilai RM4.867 juta.

Bot serta kru dibawa ke Jeti Zon Maritim Sandakan untuk siasatan lanjut. Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Akta Perikanan 1985.

Menurutnya, saringan Covid-19 mendapati seorang daripada enam PTI itu didapati positif dan telah dimasukkan ke hospital. Manakala, lima lagi adalah negatif dan mereka telah diasingkan dan dikuarantin di lokap.

“Maritim Sandakan akan terus meningkatkan kawalan di sempadan perairan negara dalam memerangi penularan Covid-19 ke Sabah di samping berusaha menyekat aktiviti penyeludupan, pencerobohan dan jenayah maritim lain,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Sebarang laporan, aduan dan kecemasan di laut boleh terus hubungi Maritim Malaysia di talian 24 jam iaitu MERS 999 dan Pusat Operasi Zon Maritim Sandakan di talian 089-229504.

Orang ramai juga boleh menyalurkan maklumat berkaitan PTI di talian hotline National Task Force (NTF) 011-62511223.

Kongsikan Berita Ini :

Leave a Reply

Your email address will not be published.