Pelawat Dari Labuan Perlu Dapat Kebenaran PIHAK Polis Untuk Ke Sabah

LABUAN: Individu atau pelancong dari pulau bebas cukai ini yang ingin masuk ke Sabah perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran polis semasa pelaksanaan Kawalan Rentas Daerah di seluruh Sabah berkuat kuasa mulai tengah malam esok sehingga 16 Oktober ini.

Ketua Polis Daerah Labuan Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, orang ramai terutamanya warga tempatan dikehendaki memaklumkan balai polis dan membuat permohonan sebelum melakukan perjalanan ke Sabah.

Petugas kesihatan membuat pemeriksaan dokumen perjalanan dan saringan penumpang feri roro kenderaan dari Menumbok Sabah yang baru tiba di Terminal Feri Antarabangsa Labuan hari ini. – Foto BERNAMA

Bagaimanapun, beliau berkata, peraturan baharu itu tidak terpakai ke atas syarikat pengangkutan membawa barang keperluan termasuk perabot dan peralatan ke pulau bebas cukai itu tetapi mereka perlu ada surat rasmi daripada majikan masing-masing.

“Kami mengingatkan mereka yang ingin melakukan perjalanan melalui laut atau udara ke Sabah atas urusan peribadi perlu terlebih dahulu mendapatkan kebenaran bertulis daripada balai polis berhampiran di pulau ini.

Untuk perkhidmatan penting seperti pengangkutan barang keperluan seperti makanan, ubat-ubatan, bahan keselamatan dan lain-lain barangan penting yang dibenarkan masuk ke Sabah … pergerakan di bawah kategori ini perlu ada surat rasmi daripada majikan dan perlu ditunjukkan kepada pihak berkuasa seperti polis di sekatan jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan kepada Bernama hari ini.

Muhamad Farid berkata, Polis Kontinjen Labuan tidak akan membuat sekatan jalan raya di pulau ini bermula tengah malam 3 Oktober berikutan pengumuman Kawalan Rentas Daerah di Sabah.

“Bagi Labuan, kami hanya akan menempatkan petugas yang mencukupi di Lapangan Terbang Labuan, dan dua terminal feri — Terminal Feri Ro-Ro dan Terminal Feri Antarabangsa Labuan, sejak 27 September,” katanya.

Beliau juga berkata, pengawasan secara 24 jam di sepanjang pesisir perairan dilaksanakan untuk memantau kemungkinan cubaan menyusup masuk oleh warga tempatan atau pendatang asing melalui laluan tidak sah ke pulau ini bagi mengelak pemeriksaan koronavirus (Covid-19). – BERNAMA

Kongsikan Berita Ini :

Leave a Reply

Your email address will not be published.